Wednesday 18 September 2013

Kelate melangkah bergaya


KEMENANGAN 3-1 ke atas Terengganu di gelanggang lawan malam kelmarin ternyata membuka laluan lebih cerah buat Kelantan mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.
Sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Kelantan diramal menghadapi tugas getir untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu satu.
Bagaimanapun, Kelantan membuktikan betapa mereka benar-benar mahu mempertahan kejuaraan yang dimenangi musim lalu apabila mudah membenam Terengganu di hadapan ribuan penyokong skuad Peteh itu.
Percaturan pengendali Kelantan, Bojan Hodak meletakkan tiga pemain tengah, Shakir Shaari, Mohd. Badhri Radzi dan Zairo Anuar Zailani ternyata memberi impak sehingga membolehkan The Red Warriors pulang dengan tiga mata berharga.
“Sebenarnya kemenangan 3-1 ke atas Terengganu di hadapan ribuan penyokong mereka bukan suatu yang mudah.
“Mereka mempunyai pemain serangan yang baik tetapi kami berjaya mendominasi bahagian tengah sehingga menyebabkan mereka agak sukar untuk bergerak dan melakukan sesuatu,” kata Hodak ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas mengenai persembahan Dickson Nwakaeme, Hodak tidak berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan tonggak import dari Nigeria itu biarpun hanya diturunkan dalam tempoh kurang 45 minit.
“Saya tidak gembira dengan persembahannya (Dickson) kerana dia memiliki banyak peluang dan gagal menyudahkannya. Namun, perlu diingat dia baru sahaja pulih daripada kecederaan serta cuba mencari kembali rentak.
“Saya fikir sumbangannya termasuk terlibat dalam menghasilkan gol ketiga yang dijaringan oleh Piya (Badhri) itu sudah mencukupi. Dia perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya dan cergas secepat mungkin,” ujarnya.
Pada aksi kelmarin, Kelantan terlebih dulu memecahkan kebuntuan pada minit ke-27 menerusi jaringan sendiri kapten Terengganu, Hasmizan Zakaria yang tertampan bola ke gawang sendiri.
Babak kedua menyaksikan Kelantan terus menjarakkan kedudukan apabila Indra Putra Mahayuddin menanduk bola hantaran Badhri pada minit ke-56.
Terengganu berjaya merapatkan defisit gol apabila Ashaari Samsudin meledak gol pada minit ke-74.
Badhri melengkapkan malam gemilang Kelantan menerusi gol ketiga lima minit sebelum perlawanan tamat.